Thursday, 3 November 2011

Saya Bukan UD.

Lama sudah saya tidak menulis tentang Jerantut. Mungkin kerana Jerantut sudah banyak blog yang hebat-hebat. Hebat dari segi quantity. Ada seseorang komen bahawa saya ini kononnya Urag Drulug. Hujahnya konon UD sering promote abang saya sebagai calon DUN Tahan.

Saya bukan UD. Dan saya cakap sekali. Once and for all. Kepada pengomen, saya tidak minat untuk serta dalam polemik yang membazir waktu. Jangan drag saya ke level anda. 

Friday, 24 June 2011

Keluarga dan politik.

Kadang-kadang berasa hairan apabila ada orang meletakkan kepentingan politik mengatasi hubungan kekeluargaan. Saya pernah berkata, jika menceburi politik sekadar menjadi pengikut si polan dan si anu, tak perlu beria sangat. Bohong jika zaman sekarang orang kata menceburi politik untuk berjuang. Zaman itu sudah berlalu.

Persoalannya kepada mereka yang bergiat dan menyokong individu tertentu, apa sebenarnya matlamat berpolitik? Jika hingga boleh menjadi YB dan menjadi kaya raya, mungkin ada kewajaran jika tukar hubungan kekeluargaan dengan pencaturan politik. Tapi kalau hanya menjadi penyokong cabuk namun sanggup berbalah-balah, buang saudara dan tidak bertegur sapa lagi, ini sebenarnya satu kebodohan.

Politik bukanlah segalanya.

Friday, 17 June 2011

Mengapa Blog Ini Tidak di Update.

Selepas posting terakhir saya berkenaan mereka - rakan politik Jerantut - yang telah pergi, saya berasa janggal untuk menulis tentang politik Jerantut. Saya tidak boleh menulis tentang politik tanpa menyentuh ahli politik. Menyentuh ahli politik Jerantut sebenarnya sangat tricky.

Orang-orang politik kita dari Jerantut kebanyakkan tidak suka dikritik - walaupun membina. Mungkin mereka menganggap kelemahan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. "Semakin sempurna seseorang, semakin jelas dimana kekurangannya", kata perpatah Arab.

Namun 'kritik' sering memberi konotasi yang tidak baik kepada mereka seperti 'hotel' kepada orang kampung satu ketika dulu. Dan mustahil bagi saya mengkritik tanpa melukakan hati seseorang. Saya tidak mahu meninggalkan dunia ini dengan berbagai perasaan terluka dari rakan-rakan seperjuangan dari Jerantut.

Mungkin ini sebab mengapa begitu banyak blog di Jerantut suka meluahkan perasaan dengan menggunakan blog anon atau tanpa wajah. Mungkin ada seseorang berdua yang berani dan menyalahi tabii masyarakat Jerantut, itu terpulang kepada diri masing-masing. Sebagai lelaki, kita berhak melakukan apa saja hanya kita perlu berani menanggung segala akibat - baik atau buruk. Hanya criminal yang melarikan diri.

Justeru terkenang mereka yang telah pergi, menyedarkan saya mengapa kita perlu bergaduh, berperang, cas keting dan memfitnab sesama sendiri di Jerantut. Kita perlukan semua bakat. Gothe tidak gentar berhadapan dengan Napoleon walaupun Napoleon penakluk agung kerana dari segi menulis, terbukti Gothe merupakan gergasinya.

Apa yang penting kita perlu muhasabah diri, dan menyedari di mana kita berada. Tawaduk bukan bererti merendahkan diri. Tawaduk bererti tahu meletakkan diri kena pada tempatnya. Mungkin ini tulisan terakhir dari blog ini.

Wassalam

Monday, 23 May 2011

Mengenangi Mereka.

Terkadang apabila saya bersendirian, saya sering teringat wajah-wajah yang sudah pergi. Maksud saya, tokoh-tokoh politik Jerantut yang sudah tiada. Saya mengenangi mereka tanpa mengira kem, tanpa mengira mereka dari yang pernah menyokong kami semasa era Dato' Wan Abu Bakar, atau saya. Itu tidak penting. Mereka hanya sekujur tubuh sahaja kini.

Mereka yang pernah memberi sokongan, atau membuat plot untuk menjatuhkan saya, atau yang pernah mengundi, atau yang tidak pernah mengundi, malah mungkin ada yang mengempen untuk tidak mengundi saya. Itu semua sudah tidak penting. Kini mereka sudah mengadap Allah, Pencipta dan sedang diadili. Esok lusa mungkin saya pula, Semua yang bernyawa akan kembali kepada Allah.

Mari kita bariskan nama: Arwah Saffin Karim, Arwah Mokhtar Jeffri, Arwah Pak Ngah Rafli, Arwah, Zainal Kassim, Arwah Pak Long Zainal, Arwah Shahrin Daud, Arwah Rahimi Wasit atau Wak Kang, Arwah Hasim Manggi, Arwah Harun Gintung ,Arwah Pak Din, Arwah Cikgu Bakar dan Arwah Azizan Yaakob.Mungkin ada yang saya lupa untuk senaraikan di sini.

Bila makin ramai orang yang sempat ketawa dan berbual dan mengata dengan kita sudah seorang demi seorang meninggalkan kita, ini bererti kita sudah makin tua. Satu hari nanti, akan tiba giliran kita.

Politik hanya mainan dunia. Berpada-pada dalam menaburkan fitnah. Kita akan diadili juga.

Al Fatihah buat arwah-arwah.

Wednesday, 18 May 2011

Jerantut Perlu Perancangan Bandar Yang Menyeluruh.

Sekali air bah, sekali pasir berubah.

Ungkapan di atas bermaksud bila bertukar kepimpinan, maka akan berlaku perubahan. Perubahan yang berlaku tidak pula menjamin kebaikan, atau keburukan. Sesuatu yang pasti, perubahan akan berlaku mengikut rentak pemimpin yang baru.

Pembangunan - dan perancangan - bandar Jerantut tidak boleh begitu. Ia perlu direncana berdasarkan masterplan, atau blue print untuk jangkamasa yang lama. Mungkin 20 tahun dari sekarang, dan tidak boleh ad hoc. Mana-mana bandar yang cambah tanpa blueprint akan mewujudkan berbagai-bagai masalah kemudian hari. Justeru itu perancangan yang teliti dan long term sangat perlu.

Kita ambil contoh loji air Batu Embun. Ianya siap dibina pada tahun 1992, dan kurang dari 10 tahun pembinaannya, ia sudah tidak dapat menampung keperluan rakyat Jerantut dan industrynya. Begitu juga dengan perancangan jalanraya agar tidak berlaku kesesakan, taman-taman perumahan dan bangunan komersial. Ianya perlu dirancang dengan teliti agar Jerantut bukan saja membangun tetapi indah.

Kita perlukan arkitek pembangunan.

Sunday, 8 May 2011

Generasi Baru Politik Jerantut.

Jerantut perlukan generasi baru ahli politik jika mereka ingin pergi jauh. Ini kerana Jerantut masih mengamalkan politik kepuakan atau 'group feeling'. Orang Jerantut perlu sokong pemimpin yang benar, bukan kuat. Orang Jerantut perlu menyokong mana-mana orang yang membawa kebaikan kepada Jerantut tanpa mengira mereka datang dari Tahan, dari Pulau Tawar atau Damak.

Dengan ringkas, dalam dunia sudah semakin global, semangat tribal perlu dihapuskan. Menyokong pada yang mampu, bukan secara assabiyah.

Thursday, 5 May 2011

Elok Jika Komen Di Moderate.

Saya berasa sedih sebenarnya jika membaca sebuah blog yang enggan moderate komen. Kononnya pemilik blog itu ingin memberi kebebasan kepada warga Jerantut memberi apa saja pendapat tentang hampir apa saja. Masalahnya, ditangan orang yang mengamalkan budaya rendah dan mengaibkan sesama Islam, kebebasan seperti ini diambil kesempatan untuk memalukan sesama Islam, sesama parti.

Kebebasan bersuara juga perlu ada pertimbangan. Jik blog menjadi tempat memfitnah dan mengaibkan seseorang maka pengendali blog sepatutnya bertanggungjawab. Ada ketika, apa yang dibahaskan tidak ada kena mengena dengan individu yang dibangkit, dengan fitnah dan cerita dalam kelambu yang tidak sepatutnya diluahkan dalam blog. 

Saya menapis semua komen yang bersifat peribadi. Jika ada komen yang tidak sependapat dengan saya, jika ia akademik saya akan lepaskan. Saya akan bahas secara akademik. Sebenanrnya reputasi blog-blog Jerantut dan sesetengah blogger Jerantut memalukan. Rakan-rakan blogger saya dari tempat lain sering menyindir kualiti blog Jerantut. Ini kerana blog Jerantut lebih suka mengaibkan orang dari mencari kebaikan.

Janganlah cari populariti dengan cara murahan. Jangan aibkan sesama Islam dan sebangsa. Ini bukan amalan mulia.